Jatuh yang tidak ada orang simpati  ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh  pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan  diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga  kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka  gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa  ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?
Cinta, rasa yang ada dalam  hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh  terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan  dari Allah.
Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor,  sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti  sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang  dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam  diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam  meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera  nafsu.
Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan  kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada  pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki  kepada perempuan. Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome  bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu.  Lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan  hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk  kesenangan nafsu semata-mata.
Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan  oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak  melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan,  berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan. Ketika itu  tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau  tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa  lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran  itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan  masing-masing.
Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon  untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk  memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang  perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. Habis manis  sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang  melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup  bermadu kasih pada suami melayang.
Itulah falsafah cinta nafsu yang  melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak  melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja,  sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya  sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dah syatialah di neraka kelak. Inilah  kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.
Cinta nafsu kalau pun  boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami  akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi  nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi  hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun  sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik.  Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami  apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah  isteri terseksa.
Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami  boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih  dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara  atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami.  Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi  melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah  pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan  isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu  saat untuk ditalqin kan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu,  cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun  dituduh.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di  dunia lagi.
Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati,  itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan  mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun  untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal  jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.
Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan,  lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat  dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang  paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.
Kalau berlaku antara lelaki  dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan  memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan  dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi.  Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal  atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang  dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup  susah-susahkan dan korbankan diriuntuk senangkan orang yang dicintai.
Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang  bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat  perlindungan 'arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di mana masing-masing  orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.
Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh  ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada  waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya  atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi.  Salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami  datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin  puting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh  dan teguh.
Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu  muda atau tua. Sama ada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri  tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan  tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu  bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak  dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana Rasulullah lebih  mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih tinggi dari istei-isteri lain.  Rasulullah saw akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu selimut  baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah berlaku semasa baginda satu  selimut dengan isteri-isteri yang lain.
Sumber cinta yang datang dari  Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku  pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah  dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang  isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat  itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk  laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan  suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya  kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura,  cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.
Cinta  yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar  perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang  sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecildan rendah padanya.
Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu  Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia  sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak  keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa  itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada  Yusuf.
Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia  bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya  buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis  dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah  terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah  Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman  gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah  sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan  zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang  berhajat kepadanya. Terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan  sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju  Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf  seketika dulu.
Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu  dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf  cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh  rindudi syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta pada Allah akan  lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab.  Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya  dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka  bagimereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah  kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.
Ibu bapa, suami,  isteri, sahabat handai dan siapa sajayang mengasihi dan mencintai kita,  hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan  yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga  Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh  bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah  mahu.
Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita  berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Sama ada  masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat  itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya:  yang bermaksud:
"Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah,  nescaya kamu tak terhitung."
Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan,  menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang  dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya  kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima  kasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan  menyenangkan kita dengan kehendaknya.
Oleh itu orang yang betul kenal  dan beradab, dia malu pada Allah. Malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang  lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri  pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan  untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta  pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, "Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau  bukan kerana takutkan neraka-Mu. Tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk  neraka kalau itulah kemahuan-Mu. "
Itulah rintihan hati seorang wali  perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua  cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam  hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada  orang mangatakan: "Jika kau berikan hatimu atau pun cintamu pada manusia nescaya  dia akan merobek-robekkannya . Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan  kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta dengan Allah  pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di  akhirat."
Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan  yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di  samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan  juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.