1. Gunakan seluruh pancaindera
 Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi  bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan  mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk  berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang  ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang  dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara  keduanya.
 Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling  memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang  ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah  10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
 2. Bersahaja
 Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara  dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah  ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
 Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.  Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia  tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang  sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
3. Senang bersama
 Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu  ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita  sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
 Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan,  terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang  ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
 4. Terima kita seadanya
 Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin  dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.
 Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa  kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya,  dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.
 Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila  dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
 5. Sentiasa jujur
 Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam  agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara  yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu  kita.
 Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita.  Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu  hubungan.
 Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang  kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita.  Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati.  Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
6.  Percaya Mempercayai
 Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu  dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
 Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia  kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya  mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
 Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya  berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun  kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui  kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
 7. Senang Bekerjasama
 Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa  yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan  kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh  ataupun sukar.
 Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan  meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat  melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
 Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan  kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan  kita pada masa hadapan.
 Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang  memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
 8. Memahami diri kita
 Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa  kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur.  Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang  berleter, dia menjadi pendengar.
 Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang  gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
 Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, 'lidah  sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai  bagi pasangan kekasih.
 Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di  saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
 9. Tampilkan kelemahan
 Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia  insan yang sempurna daripada segala sudut.
 Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia  yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia  kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
 Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan  kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita.
 Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari,  dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling  menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup  bersamanya.
 10. Kata hati
 Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang  dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.
 Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing.  Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga  reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
 Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah  dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah  segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
 Mimpi
 Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di  pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam  memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.
 Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang  Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan  izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan  sebaiknya.
 Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi  mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya  sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
 Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?
 " Manusia merancang, Allah menentukan."